Satu cara untuk mengetahui sejauh mana  kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa  terhadap hati kita? Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal  dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa? Jika  terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya,  jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira… itu satu  petanda buruk. Iman kita amat lemah, Hati kita sedang sakit. Boleh jadi  sudah menanti masa sahaja untuk melayang.
 Apa tanda menyesal? Menyesal bukan  menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi  menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa  yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita  tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan  mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada  kejahatan yang kita lakukan itu.
Mari kita bertanya pada hati  masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan  taubat?  Amat malang di Ramadan 1432 H ini jika kita terlepas lagi  peluang untuk diampunkan dosa seperti di Ramadan 1431 H yang lalu.  Sedangkan bulan Ramadan yang sedang kita lalui ini  melimpah ruah dengan  keberkatan, keampunan dan janji terlepas daripada api neraka.
Bagi orang yang beriman, peluang sebesar  ini sangat dinanti. Sejak bulan Rejab lagi, mereka telah bersedia untuk  menyambutnya dengan menyemarakkan ibadah. Mereka sedar Ramadan   Bayangkan, terlepas derjat dan pangkat di sisi Allah yang Maha Mulia,  tentulah ruginya tidak terkira. Sedangkan manusia kini berebut-rebut  mengejar pangkat di sisi manusia sesama manusia.
Pangkat di dunia tidak akan berguna  selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna  di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan  keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di  akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.
Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat  Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila  namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap :  “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orangtuanya  tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke surga”. Aku berkata : “Amin”.  Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan  Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku  mengucapkan : “Amin”. (HR. Ahmad)
Hati siapa yang tidak tersentuh apabila  mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di akhirat sana. Dosa  tidak diampunkan, masuk ke neraka dan jauh daripada rahmat dan  pengampunan Allah. Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak  berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini…  kerana menangis di akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.
Takuitilah akibat dosa yang kita  lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isterti,  suami, boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah  dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita. Ya,   kita  sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba. Lupakah kita  dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak  ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana  sikap Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi  tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh  ‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatitkan bahawa Rasulullah SAW  menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit  (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.
Rasulullah SAW pernah berdoa memohon  agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda  akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:
“Tuhanku! Tidakkah engkau telah  berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada  bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab  mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat.  (Sulaiman bin al-Ash’ath, Sunan Abi Daud)
Itulah sikap yang ditunjukkan oleh  Rasulullah SAW, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin  masuk syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota  Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi  al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat  dan keberkatan. Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak  terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya,  bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan  kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi  premis dosa?
Walau bagaimanapun, bencana alam,  penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya  boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang  tersirat. la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka  kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada  Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.
Untuk memahami yang tersirat dan  mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap  lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi  terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi  peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.
Renungilah hakikat ini: Umat Nabi Nuh  a.s yang tunduk kepada hasutan syaitan, yang mana syaitan itu diciptakan  daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar.  Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir.  Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai  pemusnah.
Hukum ini terus berjalan sepanjang  zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat  manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan  mereka. Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Lut, yang ditelan  bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana  curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu  kerana kederhakaannya.
‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah)  dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi  peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah,  sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk  daripada Allah SWT kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka.  Kelapan-lapan kaum itu ialah:
- Kaum Nabi Nuh.
 - Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. Mereka menyembah berhala.
 - Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
 - Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
 - Firaun dan pengikutnya.
 - Kaum Nabi Luth.
 - Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
 - Kaum Tubba’.
 
Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai  banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad  SAW. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad  sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan  dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.
Bencana alam seperti tsunami, gempa  bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat  dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding  bencana yang menimpa umat-umat terdahulu. Apapun, mesejnya tetap sama –  sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan  sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih  dahsyat).
Lihat sahaja loji-loji nuklear di  Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu  tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia  tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?
Walau bagaimanapun, ada bencana yang  lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat  derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari  kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan  membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:
“Kemudian apabila mereka melupakan  apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka  pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan  apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika  itu mereka berputus asa. (Surah al-An’am 6: 44)
Manakala secara peribadi dosa akan  menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan  fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita  sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah: “Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” Thaha: 24
Ibnu Khatir  menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya: “Di  dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya  gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang,  mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana  sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada  keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu  dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.”
Hati orang soleh begitu lembut,  sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati  seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya  tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran.  Kita sering diingatkan bahawa  apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri  sendiri.
Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui  di Ramadan yang mulia ini, apakah penuh pahala atau sebaliknya.  Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (akhirat)  nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!





0 comments:
Post a Comment