BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »
.........

..

..

Monday, February 17, 2014

SAYONARA JAHILIYYAH

 2014, pastinya ramai dalam kalangan kita ini telah pun membina azam baru. Ada yang berazam untuk mengejar cita-cita sehingga tercapai. Tidak ketinggalan ada yang menanam impian untuk menunaikan apa yang dihajati oleh orang lain. Walaupun begitu, tidak kira apa sahaja azam yang kita bina, sudah pastinya ia adalah perjalanan menuju kepada sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya. Justeru itu, sebagai seorang muslim kita sentiasa digalakkan untuk berazam ke arah yang lebih baik tidak kira sama ada menjelangnya tahun baru ataupun tidak. Begitulah kehidupan dan jiwa sebagai seorang muslim yang mana bersesuaian dengan
hadis Baginda Nabi SAW : 
 Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi, pernah atau tidak kita bertanya pada diri sendiri, adakah pada hari ini kondisi aku lebih baik dari semalam? Adakah Iman aku pada hari ini lebih baik dari semalam? Adakah pada tahun ini, diriku, rohani, jasmani, iman serta amalku lebih baik dari tahun sebelumnya? Atau aku adalah orang yang gagal, kerana hari ini aku lebih teruk daripada hari semalam? Atau aku adalah golongan yang terpedaya kerana hari ini aku masih sama seperti hari-hari semalam? Kita digolongan yang mana?

Jika disingkap kisah terdahulu, bagaimana kukuhnya keazaman para sahabat untuk meninggalkan zaman jahiliyyah mereka demi menuju ke arah sesuatu yang lebih baik iaitu Islam, pastinya sangat jauh berbeza jika dibandingkan mereka dan diri kita. Misalnya, Abu Ubaidah Al-Jarrah yang sanggup meninggalkan segala kekayaannya yang ada semasa beliau belum memeluk Islam demi cinta dan kasihnya kepada agama yang suci iaitu Islam. Begitu juga para sahabat yang lain berhijrah meninggalkan zaman jahiliyyah mereka demi kehidupan fitrah yang memberi kemuliaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. 

Masa tidak akan sesekali menunggu kita. Ia tidak pernah jemu beranjak meninggalkan manusia yang seringkali bertangguh dengan 1001 alasan. Nak berubah? Nantilah, esoklah, ada masa lagi. Perkataan-perkataan seperti ini yang seringkali menjadi batu penghalang kepada manusia demi menuju ke arah kebaikan.

Ayuh kita mulakan langkah baru. Jika dahulu solat kita polos di sana-sini, hari ini kita suntiklah kesungguhan dalam diri kita untuk berubah. Sebenar-benar perubahan. Jika masa remaja kita dahulu disia-siakan kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah, manfaatkanlah masa yang ada ini dengan sebaiknya. Jika dahulu kita bukanlah seorang anak yang baik, tahun ini berazamlah untuk menjadi penyejuk mata kepada kedua ibu bapa. Jika dahulu kita sering alpa dengan suruhan yang Esa, hari ni tanamlah kesungguhan untuk menjadi hamba yang paling bertaqwa di sisi-Nya. 
Ayuhlah remaja, para ibu dan bapa, serta insan yang bergelar Muslim, bawalah mereka yang berada di sekeliling kita untuk meninggalkan jahiliyyah.

SAYONARA
JAHILIYYAH
!!!

doa..